BERCAKAP  tentang ilmu, saya teringat kepada perbualan saya dengan seorang ustaz  yang mengajar "Kursus Menghalusi Solat". Dia menceritakan suatu  peristiwa apabila pada satu hari dia menyuruh pelajar-pelajar dewasanya  membaca doa Iftitah (Allahu Akbar Kabiran). 
Salah  seorang daripada pelajarnya yang berusia dalam lingkungan 40an telah  membaca di akhir doa tersebut dengan lafaz 'wa ana minal musyrikeen'  (dan saya dari golongan orang-orang musyrik) yang sepatutnya 'wa ana  minal muslimeen' (dan saya dari golongan orang-orang Islam). Apabila  disuruh ulangi bacaannya, kata ustaz tersebut, begitulah lafaz yang  dibacanya. Alangkah terkejutnya apabila diberitahu makna doa yang  dibacanya. Sekian lama itulah doa yang dibaca di dalam solat lima waktu
Apa yang ingin saya ketengahkan di sini adalah sikap sesetengah daripada kita terhadap ilmu agama yang telah kita pelajari. Ada  di antara kita yang masih lagi mengamalkan apa yang dipelajari semasa  kanak-kanak tanpa memeriksa samada ilmu itu perlu diperbaiki atau tidak.  Sudahkah kita memeriksa bacaan yang kita baca di dalam solat dengan  orang yang berpengetahuan? Atau mungkin ilmu yang sedia ada perlu  ditingkatkan? Lebih-lebih lagi mengenai pengetahuan kita dalam ilmu  tauhid yang menentukan adakah seorang itu dari kalangan orang yang  beriman atau sebaliknya.
Mengenai  pengetahuan kita di dalam solat pula, ada di kalangan kita yang  bertahun-tahun mengerjakan solat tanpa mengetahui makna atau maksud  bacaan-bacaan di dalam solat. Sebagai contoh, berapa ramai yang berdoa  Qunut setiap pagi tetapi tidak mengetahui apa yang dipohonnya. Atau  bacaan yang mudah seperti bacaan sewaktu rukuk. Adakah kita mengetahui bacaan yang kita baca?. Tidak  pernahkah terlintas di hati kita untuk menghafal makna bacaan apa yang  kita baca di dalam solat? Saya yakin bahwa jika kita meluangkan sedikit  masa setiap hari untuk menghafal makna bacaan-bacaan di dalam solat,  dalam masa seminggu kita boleh menghafal bacaan tersebut sepenuhnya.
Kini  tiba masanya untuk kita meningkatkan kualiti ibadat terutamanya solat,  berdoa dan sebagainya yang kita sering kerjakan seharian. Sungguh malang  orang yang bertahun-tahun berdoa di dalam bahasa Arab tetapi tidak  mengetahui apa yang didoakan. Sungguh Allah tidak menerima doa orang  yang lalai (atau tidak mengetahui maksud) apa yang didoanya. Kadang kala  kita menyerahkan nasib orang yang telah kembali ke rahmatullah di alam  barzakh kepada orang lain untuk membacanya tanpa mengetahui apa yang  dibacanya. Orang yang telah meninggal dunia berhajatkan kepada doa ahli  keluarganya. Tetapi oleh kerana sikap kita yang endah tidak endah dengan  ilmu pengetahuan, mungkin hampalah hajat mereka. Berdoalah dengan penuh  harapan dan tangisan kepada Allah untuk mereka yang telah meninggalkan  kita di dalam bahasa yang kita faham maksudnya.
Alangkah  baiknya jika kita beramal dengan amalan yang didasari ilmu yang hakiki.  Bukan amalan yang berdasarkan ketidaktahuan atau ketidakpastian.  Periksalah dengan ustaz-ustazah atau orang yang berilmu salah betulnya  bacaan kita dan buanglah rasa malu yang tidak bertempat untuk bersemuka  dengan mereka. Bertekadlah untuk menghafal makna bacaan-bacaan dan  doa-doa di dalam solat seluruhnya walaupun sebaris sehari. Ingatlah  perkara pertama yang akan diperiksa di hari akhirat adalah kualiti solat  yang kita kerjakan. Marilah kita pertingkatkan ilmu dan amalan agama  kita agar kehidupan kita selamat di dunia dan akhirat.
Amin Ya Rabbal 'Alamin. 
P/S::Admin pernah terbaca buku karangan Tok guru Nik aziz bagaimana cara hendak mendapatkan solat yang khusyuk.Salah satu caranya ialah apabila kita membaca setiap ayat didalam solat itu hendaklah kita fahami maksudnya.Insya'Allah pasti beroleh kekhusyukan yang dicari..Walahualam bissawab 

No comments:
Post a Comment