MEMAHAMI INTIPATI HADITH
Dari Abi Nujaih 'Irbadl bin Sariyyah RA, ia berkata : Rasulullah shallallaahu 'alaihi wasallam memberi pelajaran kepada kami sehingga hati kami takut kepadanya dan mata mencucurkan air mata. Kami berkata : "Wahai Rasulullah, sepertinya pelajaran ini adalah pelajaran orang yang akan berpisah ? Oleh kerana itu, berilah kami nasihat". Baginda bersabda : "Aku wasiatkan hendaklah kalian bertaqwa kepada Allah,mendengar dan taat kepada pemimpin kalian sekali pun diperintah oleh seorang hamba, kerana orang-orang yang hidup selepas ini akan melihat perselisihan yang banyak. Maka, hendaklah kalian berpegang teguh pada sunnahku dan sunnah para khulafaur-rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku. Gigit (pegang erat) sunnah tersebut dengan gigi geraham. Tinggalkanlah hal-hal yang baru (dalam agama), kerana setiap bid'ah adalah sesat"
[Diriwayatkan oleh Abu Daud no. 4607; At-Tirmizi no. 2676; Ahmad 4/126-127; Ad-Darimi 1/44; Ibnu Majah no. 43,44; Ibnu Abi 'Ashim dalam As-Sunnah no. 27; Ath-Thahawi dalam Syarh Musykilil-Atsar 2/69; Al-Baghawi no. 102; Al-Ajjuri dalam Asy-Syari'ah hal. 46; Al-Baihaqi 6/541; Al-Lalika'i dalam Ushulul-I'tiqad no. 81; Al-Marwadzi dalam As-Sunnah no. 69-72; Abu Nu'aim dalam Al-Hilyah 5/220, 10/115; dan Al-Hakim 1/95-97. Hadith tersebut berdarjat sahih].
Saya begitu teruja setelah merenung sebuah hadith yang merakamkan Khutbah terakhir Rasulullah SAW seperti di atas. Namun, perasaan sebak itu segera mencengkam jiwa dan sanubari. Alangkah sedihnya sahabat ketika itu kerana bakal kehilangan seorang yang sangat mereka kasihi berbanding diri mereka sendiri. Mereka terpaksa mengharungi zaman perselisihan seperti yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Pengajaran yang boleh diambil dari hadith ini sungguh besar. Perkataan Rasulullah SAW pada potongan ayat "kerana orang-orang yang hidup selepas ini akan melihat perselisihan yang banyak" telah menunjukkan betapa penting dan gentingnya peringatan Rasulullah SAW ketika itu. Maka benarlah kata-kata Rasulullah SAW bahawa perselisihan itu pasti akan berlaku. Hari ini kita melihat ramai umat Muslim berpecah kepada banyak pendapat. Kelihatan banyak amalan-amalan dan ritual baru telah muncul. Kebanyakannya kelihatan cenderung untuk menghalalkan apa yang direka cipta di dalam agama dan enggan kembali kepada cara yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam peribadatan.
Setelah diperhati keseluruhan hadith di atas, saya tertarik kepada potongan ayat berbunyi "Tinggalkanlah hal-hal yang baru (dalam agama), kerana setiap bid'ah adalah sesat". Bagi mereka yang waras, mereka akan dapat memikirkan potongan ayat itu adalah penyelesaian kepada potongan ayat berbunyi "kerana orang-orang yang hidup selepas ini akan melihat perselisihan yang banyak". Jika kita memahami maksud potongan akhir ayat itu, maka kita akan ketahui betapa tegasnya jawapan Rasulullah SAW untuk mewajibkan kita menjauhi Bid'ah kerana itu sahaja penyelesaian kepada perselisihan yang banyak di akhir zaman. Jika menjauhi Bid'ah itu bukan penyelesaiannya, maka Rasulullah SAW tidak menuturkannya bersama peringatan berlakunya perselisihan yang banyak selepas pemergian baginda.
Namun, pada zaman yang penuh dengan fitnah dan penyelewengan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW akan berlaku ini menunjukkan sebahagian sikap Ummah yang cenderung untuk beramal dengan amal yang baru dan direka-reka. Amalan sebenar dari sunnah Rasulullah SAW seperti dipinggirkan dan diperlekeh. Mereka yang berjuang untuk mengembalikan Islam kepada Islam yang asal dan menentang tokok tambah dalam agama digelar sebagai Wahabi, pengganas, pemecah belah masyarakat dan sebagainya. Inilah ombak fitnah yang harus ditempuhi oleh setiap pembawa risalah Nabi SAW sejak zaman dahulu.
Masalah yang besar yang perlu dihadapi hari ini ialah menghadapi cara fikir sebahagian masyarakat yang tersalah anggap tentang konsep hukum dalam Ibadah Khusus (Ritual). Apabila ditegur perbuatan mereka menyanggahi sunnah dan bid'ah, maka mereka beralasan bahawa ia bukan Bid'ah walaupun mereka tahu Rasulullah SAW tidak melakukan ritual seperti mereka. Alasan mereka ialah apa yang mereka buat itu bertujuan baik dan tidak ada larangan dari Quran dan Hadith.
Amat dukacita konsep pemikiran ini sudah tersebar secara meluas di dalam masyarakat sehingga pintu bid'ah dibuka seluas-luasnya. Ini bertentengan dengan kaedah Usul Fiqh Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam Ibadah iaitu "Hukum asal ibadah (ritual) itu adalah terlarang melainkan ada dalil yang menunjukkan ia dilakukan oleh Rasulullah SAW atau para Sahabat. Jika tidak ada dalil dari Quran dan Hadith yang sahih tentang amalan itu, maka ia merupakan amalan terlarang (Bid'ah)".
Namun, konsep ini seperti tidak pernah dikenali oleh generasi ini sehingga mereka memegang kepada konsep " Segala ritual dalam agama boleh direka cipta asalkan nampak baik dan tidak ada dalil melarangnya". Ini terbalik dari konsep yang digunapakai oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memahami hukum ibadah. Jika konsep yang salah ini digunapakai, maka hampir semua hal agama boleh direka cipta dan ditambah asalkan ia nampak baik. Jika begitu, bolehkah menambahkan azan di dalam solat Aidul Fitri? Bukankah ia baik dan tidak ada dalil larangan tentangnya? Jika begitu, bolehkah takbir raya sebelum solat zohor di masjid? Bukankah ia adalah baik kerana memuji Allah dan tidak ada dalil larangan tentangnya? Jika konsep ini yang dipakai, maka itulah yang terjadi kepada Aminah Wadud dengan menjadi Imam Solat Jumaat Wanita pertama di dunia. Alasannya ia demi kebaikan dan tidak ada dalil larangan tentangnya. Konsep inilah yang dipakai oleh Syiah sehingga agama diubah dan ditokok tambah sesuka hati. Maka rosaklah ketulenan Islam dan tercemarlah kesuciannya yang asal.
PENYELESAIAN BIJAK
Penyelesaian untuk perselisihan hebat akhir zaman itu boleh diselesaikan dengan satu cara sahaja. Iaitu hanya mengamalkan cara Ibadah seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan meninggalkan segala Bid'ah (Ritual agama selain yang diajar oleh Rasulullah SAW). Dengan cara ini kita tidak perlu lagi berbalah sama ada amalan rekaan itu boleh dilakukan atau tidak kerana jika kita hanya mengamalkan cara Ibadah Rasulullah SAW, maka kita pasti akan selamat dari risiko kesesatan dan Bid'ah. Jika kita masih ingin mengamalkan perkara baru, maka ia masih dalam situasi samar (bagi mereka yang tidak memahami Sunnah). Tidak mahukah kita memilih jalan yang paling bebas risiko ? Sudah tentu apa yang kita tahu Rasulullah SAW lakukan itu benar dan mutlak. Kaedah ini adalah kaedah paling selamat untuk kita menempuhi zaman yang penuh dengan fitnah dan penyelewengan. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment