Sunday, January 23, 2011

Taubat seorang wanita buta


Saleh Al-Muri bercerita, bahawa dia pernah melihat seorang perempuan tua memakai baju kasar di Mihrab Daud Alaihissalam. Perempuan yang telah buta matanya itu sedang mengerjakan sholat sambil menangis terisak-isak. Setelah selesai solat dia mengangkat wajahnya ke langit dan berdoa: 


"Wahai Tuhan Engkaulah tempatku memohon dan Pelindungku dalam hidup. Engkaulah penjamin dan pembimbingku dalam mati. Wahai Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahasia, serta setiap getaran batin tidak ada Rabb bagiku selain Engkau yang kuharap dapat terhindar bencana yang dahsyat." 


Saleh Al-Muri memberi salam kepada perempuan tersebut dan bertanya: "Wahai Ukhti! Apa yang menyebabkan hilangnya penglihatanmu?" 
"Tangisku yang disebabkan sedihnya hatiku kerana terlalu banyaknya maksiatku kepada-Nya, dan terlalu sedikitnya ingatan dan pengabdianku kepada-Nya. Jika Dia mengampunkan aku dan menggantinya di akhirat nanti, adalah lebih baik dari kedua-dua mataku ini. Jika Dia tidak mengampunkan aku, buat apa mata di dunia tetapi akan dibakar di neraka nanti." Kata perempuan tua itu. 


Saleh pun ikut menangis karena sangat terharu mendengar hujjah wanita yang mengharukan itu. 
"Wahai Saleh! Sudikah kiranya engkau membacakan sesuatu dari ayat Al-Quran untukku. Kerana aku sudah sangat rindu kepadanya." Pinta perempuan itu. 


Lalu Saleh membacakan ayat yang artinya: 
 
"Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya." (Al-An'am: 91) 
 

"Wahai Saleh, siapakah yang berkhidmat kepada-Nya dengan sebenarnya?" Kata perempuan itu lalu menjerit kuat-kuat dengan jeritan yang boleh menggoncangkan hati orang yang mendengarnya. Dia jatuh ke bumi dan meninggal dunia seketika itu juga. 


Pada suatu malam Saleh Al-Muri bermimpi berjumpa dengan perempuan tua itu dalam keadaan memakai baju yang sangat bagus. 
Dalam mimpi tersebut Saleh bertanya: "Bagaimana keadaanmu sekarang?" 


Perempuan itu menjawab: "Alhamdulillah sangat baik, sebaik saat rohku dicabut, aku didudukkan di hadapan-Nya dan berkata: "Selamat datang wahai orang yang meninggal akibat terlalu sedih kerana merasa sedikitnya khidmatnya kepada-Ku."

Bahaya pergaulan bebas di laman sosial

Takrifan pergaulan bebas tanpa batasan di zaman kemajuan siber tidak lagi bermaksud bertemu secara fizikal, malah fenomena pergaulan menerusi laman sosial ketika ini turut disifatkan boleh menjerumuskan individu terjebak dalam bencana akhlak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata pelayar laman sosial selalunya terperangkap mendedah identiti diri dan rahsia menerusi pihak tak bertanggungjawab dengan niat memperdaya.
Menurutnya, apabila mangsa sudah terpedaya hingga sanggup mempamerkan diri termasuk penyerahan gambar tak bermoral sama ada diambil secara sedar atau tidak sedar, pihak yang menganiaya itu akan mula mengambil kesempatan lain seperti ugutan dalam bentuk seks atau wang.
“Bahaya (pergaulan bebas di laman sosial) sama seperti pergaulan bebas secara bersemuka. Secara prinsipnya, sebagai contoh wanita memegang status isteri yang asyik chatting (berbual maya) dengan bukan mahram hingga menaikkan nafsu tetap berdosa walaupun tidak bertemu fizikal.
“Sebenarnya orang yang mampu berinteraksi di laman sosial adalah orang yang ada kepandaian. Tetapi akibat jati diri lemah, orang yang pandai akan menjadi tidak bijak seterusnya mudah terpedaya,” katanya.
Menurutnya, kemajuan teknologi termasuk terciptanya laman sembang sosial seharusnya dimanfaatkan untuk perkara lebih bermakna seperti majlis ilmu, meluaskan pengetahuan atau berguru dengan pensyarah dari jarak jauh.
Katanya, adalah sangat merugikan apabila kita bukan saja ketinggalan, malah menjadi mangsa teknologi daripada kemudahan di laman sembang sosial.
Wan Mohamad berkata, masyarakat kena berpegang kepada prinsip tak boleh bergaul bebas walau apa cara sekalipun dengan gaya hidup yang berubah sepantas teknologi.
“Bagaimanapun, saya nasihat kepada yang terlanjur dan pernah jadi mangsa supaya segera bertaubat. Tinggalkan budaya buruk sebelum hati menjadi keras mendekati Allah.
“Semua pihak perlu menyokong memulihkan kembali kehidupan mangsa kes sebegini. Kita tak boleh terus-terusan mengecam sebab perbuatan itu menyebabkan mangsa akan murung dan berputus asa,” katanya

sumber::My Metro.