Takrifan pergaulan bebas tanpa batasan di zaman kemajuan siber tidak  lagi bermaksud bertemu secara fizikal, malah fenomena pergaulan menerusi  laman sosial ketika ini turut disifatkan boleh menjerumuskan individu  terjebak dalam bencana akhlak. 
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, (Jakim), Datuk Wan  Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata pelayar laman sosial  selalunya terperangkap mendedah identiti diri dan rahsia menerusi pihak  tak bertanggungjawab dengan niat memperdaya.
Menurutnya, apabila mangsa sudah terpedaya hingga sanggup mempamerkan  diri termasuk penyerahan gambar tak bermoral sama ada diambil secara  sedar atau tidak sedar, pihak yang menganiaya itu akan mula mengambil  kesempatan lain seperti ugutan dalam bentuk seks atau wang.
“Bahaya (pergaulan bebas di laman sosial) sama seperti pergaulan  bebas secara bersemuka. Secara prinsipnya, sebagai contoh wanita  memegang status isteri yang asyik chatting (berbual maya) dengan bukan  mahram hingga menaikkan nafsu tetap berdosa walaupun tidak bertemu  fizikal.
“Sebenarnya orang yang mampu berinteraksi di laman sosial adalah  orang yang ada kepandaian. Tetapi akibat jati diri lemah, orang yang  pandai akan menjadi tidak bijak seterusnya mudah terpedaya,” katanya.
Menurutnya, kemajuan teknologi termasuk terciptanya laman sembang  sosial seharusnya dimanfaatkan untuk perkara lebih bermakna seperti  majlis ilmu, meluaskan pengetahuan atau berguru dengan pensyarah dari  jarak jauh.
Katanya, adalah sangat merugikan apabila kita bukan saja ketinggalan,  malah menjadi mangsa teknologi daripada kemudahan di laman sembang  sosial.
Wan Mohamad berkata, masyarakat kena berpegang kepada prinsip tak  boleh bergaul bebas walau apa cara sekalipun dengan gaya hidup yang  berubah sepantas teknologi.
“Bagaimanapun, saya nasihat kepada yang terlanjur dan pernah jadi  mangsa supaya segera bertaubat. Tinggalkan budaya buruk sebelum hati  menjadi keras mendekati Allah.
“Semua pihak perlu menyokong memulihkan kembali kehidupan mangsa kes  sebegini. Kita tak boleh terus-terusan mengecam sebab perbuatan itu  menyebabkan mangsa akan murung dan berputus asa,” katanya
sumber::My Metro.

No comments:
Post a Comment