Tuesday, October 5, 2010
Kisah Pasangan yang sesal dari buruk sangka
Malam itu gerimis turun. Angin pun bertiup sungguh sangat dingin. Tapi kedua suami isteri yang tinggal di sebuah rumah kecil itu berkeinginan betul hendak keluar juga. Kerana ibu si suami itu dalam keadaan sakit tenat, mungkin hanya tinggal menunggu waktu saja. Hanya yang sangat merisaukan hati mereka, bagaimana dengan anaknya Harun, anak mereka yang baru saja berumur empat bulan. Kalau diajak pergi takut masuk angin dan dapat berakibat sakit.
“Bagaimana Aminah, kita bawa saja Harun?” Tanya si suami.
“Jangan bang, angin kencang,” cegah isterinya.
“Habis siapa yang akan menjaganya di rumah? Apakah mungkin akan kita tinggalkan dia sendirian? Aku tak sanggup, sebab rumah kita ini terlalu dekat dengan tanah perkuburan,” kata si suami.
“Ah, abang, janganlah berfikir yang bukan-bukan,” kata isterinya yang cantik dan manis itu. “kan ada Hurairah (kucing) di rumah. Dia saja kita suruh menjaga Harun.” Kata si isteri.
“Betul juga, mengapa aku tidak ingat pada si Hurairah.” Balas suaminya dengan gembira.
“Meong....” teriaknya kemudian. Maka terdengarlah suara Hurairah membalas suara tuannya itu. Lalu dengan langkah-langkah kecil dia mendekati tuannya.
“Wahai Hurairah, malam ini engkau tidak usah menjaga lumbung padi dari dimakan oleh tikus-tikus, kami berdua mahu pergi, oleh kerana itu jagalah si Harun,” kata si suami.
Kucing yang cantik itu mengeong sambil mengibas-ngibaskan ekornya. Kalau boleh berkata dia akan menjawab: “Jangan bimbang tuan, saya akan menunggu dan menjaga si Harun supaya ia tertidur dengan nyenyak. Tidak akan saya izinkan seekor nyamuk pun hinggap di tubuhnya.”
Setelah berpesan begitu, maka pasangan suami dan isteri itu pun berangkat dengan perasaan lega. Mereka tahu bahawa Hurairah akan melakukan pekerjaannya dengan baik, sebab dia adalah seekor kucing yang sangat setia dengan majikannya.
Setelah melihat majikannya sudah pergi, maka Hurairah dengan cepat dan diam-diam melompat ke atas tempat tidur. Ia duduk di sebelah si Harun yang tengah mendengkur dengan nyenyaknya. Ekornya dikibas-kibaskannya agar tidak seekor nyamuk pun yang berani mengganggunya. Matanya dengan tajam mengawasi sekelilingnya, sementara kedua kaki depannya siap mencakarkan kukunya kepada siapa saja yang berniat untuk mengusik ketenangan majikan kecilnya.
Menjelang pukul sepuluh malam, tiba-tiba kucing itu mendengar bunyi mendesis dari bawah tempat tidur. Dengan secepat mungkin Hurairah memasang kuda-kuda serta siap untuk menghadapi segala kemungkinan. Matanya tiba-tiba terbeliak terkejut dan marah, ketika melihat sebuah mulut yang ternganga dengan taring dan lidah yang menjulur panjang. Rupanya dia adalah seekor ular besar yang sudah siap untuk menelan Harun yang masih kecil itu.
Dengan cepat Hurairah melompat, giginya langsung masuk menghunjam ke leher ular tersebut, dan cakarnya menyerang dengan buas. Ular itu murka kerana niatnya dihalang-halangi oleh makhluk lain. Matanya merah seperti besi terbakar. Dia membalas menyerang dengan hebat. Badan Hurairah dibelit dengan kuat, sambil mulutnya mematuk-matuk muka Hurairah.
Hurairah hampir kehabisan tenaga, kerana dibelit oleh ular besar itu, manakala mukanya pun telah berlumuran darah. Namun dia tidak mahu binasa sebelum dapat membunuh ular tersebut. Dengan segala kemampuan dan kesakitannya, ia berusaha untuk menyelamatkan nyawa anak tersayang kedua majikannya itu. Akhirnya ia berhasil melepaskan diri, lalu dengan cepat menerkam leher ular itu. Digigitnya batang leher makhluk jahat tersebut sekuat tenaga sehingga akhirnya matilah musuhnya itu.
Begitu dilihatnya binatang pengganggu itu sudah tergolek kaku, barulah Hurairah dengan sisa-sisa tenaganya naik lagi ke atas tempat tidur si Harun dan duduk semula di samping si Harun. Anak kecil itu masih tertidur dengan nyenyak. Hurairah menjilat-jilat lukanya, sementara rasa pedih dan letih terasa sekujur badannya. Mulutnya masih penuh dengan darah ular tadi, sedangkan pada mukanya terdapat luka-luka yang menganga.
Belum pulih lagi tenaganya, akan tetapi secara tiba-tiba dia mendengar suara majikannya di halaman rumah. Dengan gerakan yang lemah dan lunglai, Hurairah turun dari tempat tidur. Perlahan-lahan ia berjalan menuju ke pintu, menyambut kedatangan kedua majikannya yang sangat dicintainya itu. Dilihatnya ibu Harun berjalan menunduk sambil terisak-isak. Bapanya pula terlihat sangat sedih. Hurairah pun ikut berdukacita memperhatikannya.
Mereka berbimbingan tangan memasuki halaman rumah. Ketika mereka tiba di depan pintu, Hurairah berbunyi lembut: “Ngeong...., ngeong...., sambil terhuyung-huyung mendekati majikannya.
Tiba-tiba saja ibu Harun menjerit, “Bang....! Harun bang....!”
Suaminya terperanjat tapi tidak mengerti, “Mengapa Harun Aminah?” Tanya suaminya.
“Lihatlah si Hurairah, mulutnya berlumuran darah. Pasti anak kita telah diterkam dan dibunuhnya. Oh, Harun.... anak kita, bang. Bunuh Hurairah, bang! Ia telah memakan anak kita!” Kata si isteri.
Si suami baru tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya. “Betul! Mulut Hurairah penuh dengan darah segar, pasti Harun telah diterkamnya.”
Tanpa berfikir panjang, si suami lalu mengambil besi. Dengan penuh kemurkaan lalu dipukulnya benda keras itu ke tubuh si Hurairah. Kucing itu menjerit; “ngeong....” Lelaki itu bertambah marahnya lagi, lalu diambilnya pula sebuah batu, ditimpakannya ke kepala Hurairah.
Maka bercucuranlah darah dari kepala binatang yang tidak berdosa itu. Badannya terkejang-kejang. Dari matanya mengeluarkan air mata yang jernih satu-satu. Setelah mengeong untuk terakhir kalinya, kucing yang cantik itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Melihat korbannya sudah mati, maka pasangan suami isteri itu terburu-buru masuk ke bilik. Alangkah terkejutnya mereka ketika melihat suasana bilik itu. Yang nampak pertama kali di depan pintu adalah bangkai seekor ular besar yang hampir putus lehernya. Maka dengan hati berdebar-debar mereka berlari ke tempat tidur. Ternyata anaknya Harun masih tetap dalam keadaan tertidur nyenyak.
Barulah mereka dapat meneka apa yang telah terjadi selama mereka tidak berada di rumah tadi. Bukan Hurairah yang bersalah, ternyata kucing itu telah berjuang mati-matian untuk menyelamatkan anak mereka. Seketika itu juga pucatlah wajah mereka. Mereka menyesal berkepanjangan. Ternyata Hurairah adalah kucing yang tetap setia. Dia tidak mempedulikan keselamatan dirinya asalkan tugas yang dipercayakan kepadanya ditunaikannya. Kalau perlu dirinya sendiri menjadi korban untuk menyelamatkan nyawa majikan kecilnya. Namun balasan yang diterimanya bukan belaian kasih sayang dan terima kasih, akan tetapi nyawanya dihabiskan dengan penuh kekejaman.
Suami isteri itu menangis tersedu-sedu menyesali kesalahannya, ia bertaubat kepada Allah SWT serta berjanji untuk tidak lagi berbuat semena-mena terhadap binatang yang tidak berdosa, tanpa periksa terlebih dahulu. Bangkai Hurairah diangkat dan diciumnya, tapi yang sudah pergi tidak akan kembali, dan penyesalan mereka juga sudah tidak bererti, kerana yang sudah mati itu tidak akan hidup lagi.
Cuma sebagai pedoman atau pengajaran buat masa yang akan datang.
Friday, October 1, 2010
Jalan-jalan Syurga
Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang
Imam dan anaknya yang berumur 9 tahun akan berjalan menyusuri jalan di
kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan
beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak
keluar seperti biasa menghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu
menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.
Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan
seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"
Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini
masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"
"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"
"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika
hujan turun"
Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca
sebegini"
Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu
kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama
kamu!"
"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi
meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan
itu.
Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa
pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan
memberikan risalah itu kepada penghuninya.
Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga"
ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai
jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke
mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun
gagal.
Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan
mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak
itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya
sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu
itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya
daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini
diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya
pintu rumah itu dibuka.
Berdiri di depan pintu adalah seorang lelaki dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang pakcik boleh bantu?"
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Pakcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH
amat sayangkan Pakcik dan sentiasa memelihara Pakcik. Saya datang ini
hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan Pakcik adalah orang yang
paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.
"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut
Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"
Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
Lelaki separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan
ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun
sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan
seorang Muslim.
Isteri saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya
keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak
matanya.
"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga
menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan
hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk
terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada
anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab.
Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng
ditekan sekali lagi".
"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng
ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan
terus pergi ke pintu"
"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya lunak sahaja". "Pakcik,
maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan Pakcik dan sentiasa memelihara Pakcik" itulah kata-kata yang
paling indah yang saya dengar".
"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup
pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan
tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat
asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".
"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang
menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat
alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak
disebabkan "Malaikat kecil" yang datang pada hari itu tentunya roh saya
ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"
Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula
yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!
Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.
Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada
anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu
anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang
seumpama malaikat.
p/s::watak dan sedikit ayatnya telah diubah bagi mengelakkan kekeliruan..jika ada kata-kata yang salah harap saudara semua tolong betulkan..wallahualam bissawab..
Subscribe to:
Posts (Atom)
