Thursday, March 3, 2011

Diam itu ibadah





Banyak Kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam , kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.

Nabi SAW bersabda : "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh,ialah diam dan baik perangai."
(Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).

Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang .Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik,baginda menjawab : "Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan,tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga kepada orang bawahan sama ada kerana usia atau pangkat. Anas r.a , pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: "Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh " Ah!" terhadapku dan belum pernah beliau menegur ,kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini? "
(Riwayat Ahmad)

Ingatlah kepada sabda Nabi SAW : "Seorang Mukmin bukanlah pengumpat ,yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor"
(Riwayat Bukhari)

"Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya".
(Riwayat Abu Naim)

Jelaslah bahawa, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik 'diam', usah gusar di label 'budak yang pendiam'.
Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina,
yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.


Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa,
Ibadah ini tidak meletihkan,

Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?

Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,

Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu,
kalau dia bercakap,
Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,

Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,

Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan,


HIKMAH BERDIAM DIRI
Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita tersiksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh karena itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bicara tidak semestinya cerdik,
karena kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari
orang bodoh yang banyak bicara.

HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirahat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Rasullulah bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". (Riwayat Bukhari & Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tarmizi)

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat berbicara kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.

sumber:iluvislam articel

Empat Sifat Orang Mukmin Sidiq, Amanah,Tabilq dan Fatanah.



Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap orang mukmin yang ingin menjadi para daie yang istiqamah perlulah mewarisi sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa kita tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat yang mulia ini kerana para Nabi dan Rasul bersifat maksum, tetapi sebagai asas akhlak yang mulia perlulah empat sifat ini menjadi pakaian dan perhiasan untuk para daie yang mukmin, yang berhasrat menjadi pewaris para nabi untuk menegakkan risalah Allah S.W.T.
Perwatakan seorang mukmin mestilah dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan  akhlaknya sentiasa menjadi ikutan masyarakat.

Dalam dirinya tercantum segala sifat-sifat mahmudah yang sejati. Pada waktu siangnya bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga dan pada masa yang sama menyampaikan mesej dakwah dan tarbiah kepada masyarakat. Di waktu malamnya solat tahajud berdoa dan bermunajat sehingga menitiskan air mata penyesalan mengadap Tuhan Rabbul Jalil.

Sahabat yang dikasihi,
Di sini akan difokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat yang perlu ada pada setiap orang mukmin yang menjadi pemimpin umat. Sifat-sifat tersebut adalah siddiq, amanah, fatanah dan tabligh. Apabila sifat sifat ini lahir dalam kehidupan maka ianya akan menjadi contoh kepada umat Islam lain yang mengharapkan keredaan Allah S.W.T.

Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Siddiq (Benar)

Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain.

Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.

DariAbdullah bin Masud, Nabi S.A.W.  bersabda bermaksud :
"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta."
(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
 "Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama)Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar."(Surahal-Ahzab ayat 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah  di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.
Seorang mukmin akan sentiasa berkata benar tidak berbohong, mungkir janji dan lidahnya tidak suka mengumpat dan memfitah orang lain walaupun terhadap orang fasik yang menghina dan menyerang peribadinya. Setiap nasihat dan tunjuk ajarnya membuatkan seseorang tertarik untuk mendekatkan diri dengan Islam kerana tuturkata yang lemah lembut dan penuh hikmah.


Kedua : Amanah

Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan  kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. "
(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Ketiga : Tabligh

Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”

Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran ayat Ayat 104)

Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim) 
Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)

Sifat keempat  ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam.

Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam kerana melihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat yang mulia ini adalah sifat yang wajib dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Jika kita mempunyai sifat-sifat yang mulia ini barulah kita layak mendapat syafaat Rasulullah S.A.W dan termasuk dikalangan hamba yang dirahmati Allah S.W.T. dan akan layak memasuki syurga-Nya.




Wednesday, March 2, 2011

Kata-Kata Khalifah



"Diamnya orang yang bodoh merupakan tutup bagi kebodohannya."

"Sikap diam yang menyebabkan engkau menjadi mulia itu lebih baik , dari pada berkata yang menyebabkan engkau menyesal."

"Sikap diam yang menyebabkan engkau menjadi berwibawa itu lebih baik, dari pada berkata yang menyebabkan engkau tercela."

"Sikap diammu sehingga engkau diminta berbicara itu lebih baik, dari pada engkau banyak berbicara sehingga engkau diminta untuk diam."

(Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'Anhu).


"Orang yang berakal, jika diam ia berfikir, jika bersuara ia bedzikir, dan jika memandang ia mengambil pelajaran."

( Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'Anhu ).


"Barang siapa yang menghindari berlebih-lebihan dalam berbicara, maka ia akan dianugerahi hikmah. Barang siapa yang menghindari berlebih-lebihan dalam melihat, maka ia akan dianugerahi hati yang khusyu. Barang siapa yang menghindari berlebih-lebihan dalam makan, maka ia akan dianugerahi kelezatan dalam beribadah. Barang siapa yang menghindari berlebih-lebihan dalam bergurau, maka akan dianugerahi kewibawaan. Barang siapa yang meninggalkan rasa cinta terhadap dunia, maka ia akan dianugerahi kecintaan terhadap akhirat."

(Umar bin Khattab Radhiyallahu 'Anhu).



"Barang siapa yang banyak bicaranya, maka ia sering tergelincir dalam kesalahan. Barang siapa sering tergelincir, maka ia banyak dosa dan kesalahan.Barang siapa banyak dosa dan kesalahannya, maka neraka layak baginya."

(Umar bin Khattab Radhiyallahu 'Anhu).



"Barang siapa yang banyak tertawa, maka akan berkurang wibawanya. Barang siapa yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina. Barang siapa yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya. Barang siapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga."

( Umar bin Khattab Radhiyallahu 'Anhu ).



"Wadah ucapan adalah hati, gudangnya adalah fikiran, penguatnya adalah akal, pengungkapannya adalah lisan, jasadnya adalah huruf, ruhnya adalah makna, hiasannya adalah i'rab , dan aturannya adalah kebenaran."

( Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'Anhu ).


"Luka yang disebabkan lidah (suatu omongan/pembicaraan/perkataan),
lebih sakit dari pada luka karena goresan pedang."

( Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'Anhu ).

"Orang yang menasehatimu berarti ia telah memberikan cahaya penerangan kepadamu. Sedangkan yang merasa cukup dengan pendapatnya sendiri pasti kan binasa."

( Ali bin Abi Thalib Radhiyallahu 'Anhu).

Tuesday, March 1, 2011

Buruknya penyakit BERSANGKA-SANGKA 2



Bismillahirrahmannirrahim..
HUSNUZON……Satu perkataan yang seakan memberi mesej kepada kita untuk sentiasa berfikiran positif. Husnuzon ertinya bersangka baik dan lawannya Su’uzon yang ertinya bersangka buruk.
Sifat bersangka baik sepatutnya ada dalam diri setiap muslim dan harus dipraktikkan dalam harian kita. Terutamanya dalam kehidupan kita, apabila kita memperolehi sesuatu informasi, tidak kiralah sama ada berita yang buruk mahupun berita yang baik, seharusnya kita selidik dahulu tentang informasi tersebut.
Janganlah mempercayai berita tersebut seratus peratus tanpa usul periksa, kerana boleh jadi, berita tersebut tidak benar malah ditokok tambah pula oleh orang yang menyampainya. Merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ,ayat 6 :
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Contohnya, rakan sebilik kita yang suka berhadapan dengan komputer ribanya 24 jam, dalam hati kita terbisik, “Eh, dia ni selalu buang masa duduk mengadap komputer, tengah chatting dengan boyfriend la tu. ” Atau pun, apabila kita melihat kawan A kita yang selalu jalan berseorangan, mesti hati kita terdetik,
” Kasihan dia ni selalu berseorangan, tu la, sombong sangat! nak jadi alim la tu tak nak bergaul dengan orang lain.”
Secara automatiknya, kita telah bersangka buruk terhadap orang lain. Dan dengan Suuzon ini jugalah kita dicatatkan sebagai dosa kecil kerana telah mengutuk orang, walaupun melalui hati. Barangkali kawan yang kita sangkakan membuang masa berhadapan dengan komputer sedang membincangkan tentang pelajaran melalui laman “messenger” atau sedang menyiapkan kerja kerja assignment? siapa tahu? Boleh jadi juga orang yang kita lihat selalu berseorangan, sebenarnya sedang dalam diam berzikir kepada Allah, atau menjaga batasnya dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan mungkin juga dia mempunyai masalah dan mahu bersendirian. Siapa tahu? Oleh itu, jauhilah daripada bersangka buruk terhadap orang lain. Seperti di dalam hadis:
“Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta” 
-HR. Muttafaqun alaihi.
Selain daripada itu, kita sebagai seorang muslim seharusnya ber-husnuzon terhadap Allah SWT. Memang benar, kadang kala, apa yang kita hajat atau idam-idamkan, tak selalu dimiliki. Sebagai refleksi, sebelum kita menempuh peperiksaan, pelbagai cara dan usaha telah kita lakukan. Study hard, work hard, burn the midnight oil, Stay up dan sebagainya. Kita bertungkus lumus berusaha agar kita berjaya dengan cemerlang. Namun, apabila keputusan peperiksaan keluar, kita kecundang dan kecewa.
Ingatlah, kita mesti sentiasa husnuzon. Mungkin Allah mahu memberi ujian kepada kita dalam bentuk yang begini kerana Dia sayang akan hambaNya. Mungkin juga, kerana Dia tidak mahu kita menjadi seorang yang riak dan takbur dengan keputusan yang cemerlang yang diperolehi atau mungkin juga, Dia mahu hamba hambaNya sentiasa merintih berdoa kepadaNya menjadikan mereka lebih dekat denganNya. Merujuk kepada ayat Al-Quran surah Al-Ankabut, ayat 2-3
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang  yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

Dan sesungguhnya Allah akan menguji seseorang mengikut kemampuannya seperti yang telah tertulis di dalam 



Surah Al-Baqarah ayat 286 ;“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

Oleh yang demikian, ber-husnuzonlah dengan Allah, bahkan dalam apa jua situasi pun. Sentiasa bersangka baik dalam setiap perkara, tidak kira dalam kehidupan dan ketika bergaul dengan manusia. Memang benar kata pepatah, banyak manusia, banyak ragam. Jadi, janganlah kita berprasangka buruk terhadap orang lain. 



Ingatlah firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat ayat 12.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

“Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah”
____________________
*Penulis adalah AJK@CliQues
Lajnah Kebajikan dan Akademik (KNA)


Buruknya penyakit BERSANGKA-SANGKA



Manusia hari ini suka bersangka-sangka..Ada sangkaan baik dan ada juga sangkaan buruk..
Contoh sangkaan buruk:

-Orang beribadah disangka riak
-Orang yang relax disangka malas
-Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
-Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud (hina)
-Orang makan banyak disangka pelahap
-Orang makan sikit disangka kedekut
-Orang baik disangka buruk
-Orang buruk disangka baik
-Orang senyum disangka mengejek
-Orang masam disangka merajuk
-Orang bermuzakarah disangka mengumpat
-Orang diam disangka sombong
-Orang menawan disangka pakai susuk
-Orang nampak ceria disangka membela


Cuba kita bersangka baik mana tahu -yang diam itu kerana berzikir kepada Allah
Cuba kita bersangka baik mana tahu -yang senyum itu kerana bersedekah 
Cuba kita bersangka baik mana tahu-yang masam itu kerana mengenangkan dosa
Cuba kita bersangka baik mana tahu -yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya
Cuba kita bersangka baik mana tahu -yang ceria itu kerana cergas cerdasnya


Jauhi sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal memusnahkan ukhwah seperti musnah nya kayu dimakan api…Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat.Semuanya bergantung bagaimana kita menilainya..Wallahualam bissawab.sekadar perkongsiaan..

Petua Untuk Tenangkan Hati...



1. Dirikan solat dan banyakkan berdoa . Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih.”


2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 kali sebelum tidur. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat Taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” (Surah Ikhlas) sebanyak 3 kali.

5. Berma’af-ma’ afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri sendiri mengenai perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. Katakanlah “Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya.

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).
 
10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan 

14. Berkawan dengan orang baik-baik

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat.


Pasti berkesan..Insya'Allah